The Digital Conversationalist

Andrea T Edwards

Perbicaraan Iklim: Bersiap sedia untuk kepanasan yang melampau

Click here for a version in English. Click here for a version in Hindi. Click here for a version in Thai.

Pada bulan April, kita mengalami ‘wet bulb temperature’ buat kali pertama, atau apabila indeks kepanasan bergerak ke situasi yang sukar untuk kita hidup. Kepanasan ini melanda Malaysia, Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, dan Filipina buat kali pertama dan banyak kematian dilaporkan. Semua negara di Global South tidak bersedia untuk kepanasan melampau ini, dan melihat apa yang telah berlaku di musim panas Hemisfera Utara tahun ini, ini bermakna kita perlu bersiap sedia untuk kepanasan seterusnya. Kita juga mesti faham bahawa semua petunjuk menunjukkan kepada kepanasan yang lebih ekstrem dalam bulan-bulan akan datang, terutamanya ketika El Nino menjadi lebih kuat dan melakukan tugasnya. Di luar Asia, di Brazil pada hari terakhir Musim Sejuk – suhu tertinggi yang pernah direkodkan adalah 45 C (113 F).

Australia

• Rekod kepanasan pada bulan September, dengan suhu di NSW 10-15 darjah melebihi biasa. Jika purata tersebut berlaku sepanjang musim panas, kita mungkin melihat kepada suhu 50C dan lebih tinggi.

• Kebakaran bermula pada bulan Ogos apabila biasanya musim tersebut bermula pada bulan Oktober

• Banyak kebakaran berlaku sekarang di bulan September, dengan kebakaran merentasi NSW dan 20 sekolah ditutup disebabkan bahaya akan kebakaran

• Australia akan berdepan dengan kepanasan ekstrem, jadi kita mungkin melihat bencan. Sila tonton siaran langsung dua minggu lalu bersama Graeme Thom, yang menerangkan kesediaan Australia menghadapi kepanasan di dunia yang lebih panas.

Musim panas Hemisfera Utara adalah mengerikan, 42 juta ekar terbakar di Kanada setakat ini, dan kepanasan di Phoenix, Arizona, adalah 110 darjah atau 43.3C selama 54 hari – ini merupakan satu rekod.

Unit rawatan luka bakar penuh dengan orang yang jatuh ke permukaan panas.

Kita melihat kepanasan ekstrem merentasi Eropah, India, Pakistan, Bangladesh, Asia Selatan, Afrika, China, Timur Tengah, dan kita masih tidak tahu tentang jumlah kematian yang dikaitkan dengan kepanasan. Kita mungkin tidak akan mendapat jawapan untuk ini. 

Dan secara lebih luas lagi, kita akan memasuki musim panas Antartika, setelah melihat kehilangan ais laut seluas 1.5 juta km persegi sepanjang musim sejuk, yang bermakna lebih banyak kehilangan ais akan berlaku sepanjang musim panas, dan itu bermakna lebih banyak kepanasan akan diserap ke dalam lautan, dan kita sudah tahu kepanasan lautan adalah di luar skala.

Terdapat kemungkinan di persekitaran yang boleh menukarkan keadaan ini – letusan gunung berapi yang besar boleh menghantar cukup sulfur dioksida ke stratosfer, bergabung dengan air untuk membentuk aerosol asid sulfurik. Aerosol sulfurik ini memantulkan radiasi solar masuk, menyebabkan penyejukan permukaan Bumi. Itu akan menjadi kelegaan dan mungkin bahkan memberi kita masa untuk bertindak!!!

TETAPI untuk Australia dan NZ pada musim panas, dan kemudian Global South dari Februari dan seterusnya, apabila musim panas bermula lagi, kita mesti bersiap sedia dan kita tidak bersedia.

  1. Ambil ini secara serius – elakkan daripada berada di luar pada suhu tertinggi hari itu, pakai pakaian dari serat semula jadi yang ringan, jangan biarkan kulit anda terbakar oleh matahari, berada dalam bayangan bila-bila anda boleh, minum banyak air dan elektrolit, elakkan apa-apa yang menyebabkan anda dehidrasi (alkohol, kopi) dan perhatikan bagaimana perasaan anda. Pelajari apa itu ‘wet bulb temperature’ dan ketahui bila ia berlaku di tempat anda
  2. Apabila kepanasan melanda dan persekitaran rumah anda tidak selamat, pergi ke ruang yang berhawa dingin atau lebih dingin secepat mungkin, dan ketahui di mana ia berada sebelum keadaan ekstrem melanda. Jangan lupa untuk memeriksa keadaan keluarga dan komuniti anda, terutamanya mereka yang tinggal seorang diri, orang tua, mereka yang mempunyai masalah kesihatan, dan wanita hamil.
  3. Pilihan kerja? Bincangkan tentang kepanasan ekstrem dengan majikan tempat kerja anda sekarang, supaya anda mempunyai pilihan kerja fleksibel ketika ‘wet bulb temperature’ melanda, dan terdapat aturan yang telah ditetapkan jika anda bekerja di luar. Jika anda bekerja dalam peranan penting, buat perancangan sekarang tentang bagaimana anda dapat menjalankan tugas anda ketika suhu meningkat, kerana ia pasti akan meningkat.
  4. Naik taraf penghawa dingin anda – servis agar ia dioptimumkan! Jika anda cukup berkemampuan tinggal di rumah yang dilengkapi penghawa dingin, pastikan ia berfungsi dengan efisiensi maksimum. Dapatkan servis pembersihan profesional setiap tiga bulan. Jika anda tidak memilikinya dan anda mampu, pasang penghawa dingin sekurang-kurangnya di satu bilik di rumah anda, walaupun ia adalah rumah sewa. Belilah unit yang berkualiti tinggi yang anda mampu, kerana model yang lebih murah mengeluarkan emisi.
  5. Pemilik rumah, pelaburlah pada hartanah anda – di Australia, pemilik rumah tidak diwajibkan untuk memasang unit penghawa dingin di rumah-rumah di beberapa negeri dan kita tidak mempunyai masa untuk perundangan dan akta untuk mengubah ini. Jadi, buatlah perkara yang betul, dan pasang unit penghawa dingin di rumah-rumah sewa anda, melabur dalam tenaga solar atau angin, dan pastikan insulasi adalah berkualiti tinggi. Bantu penyewa anda bersiap sedia, terutamanya jika mereka kurang keupayaan dari segi kewangan.
  6. Kenal pasti ruang keluarga yang sejuk – kepanasan ekstrem menyebabkan permintaan tinggi terhadap grid tenaga, dan banyak orang di negara-negara kaya tinggal di rumah besar dengan beberapa unit penghawa dingin, jadi ini adalah masa yang baik untuk menentukan sebuah bilik atau ruang yang lebih kecil di dalam rumah, yang dilengkapi penghawa dingin, yang dapat digunakan sebagai ruang keluarga semasa kepanasan ekstrem. Ini akan membantu anda mengurangkan permintaan peribadi anda terhadap grid, serta emisi yang dilepaskan dari unit penghawa dingin anda.
  7. Janganlah tamak dengan penggunaan tenaga anda – kita semua perlu berhati-hati dengan penggunaan tenaga kita semasa keadaan ekstrem, yang juga akan mengurangkan kos kita DAN memastikan cukup tenaga supaya semua orang mendapat manfaat dari penghawa dingin dalam kepanasan ekstrem. Kekedekutan dan mengambil terlalu banyak tenaga untuk diri sendiri – yang telah dilaporkan di AS – bermakna semua orang akan kehilangan kemampuan kritikal untuk menyejukkan apabila grid gagal.
  8. Cat putih – tindakan cepat dan berkesan dari segi kos adalah dengan mencat bumbung kita putih. Cari cat yang paling reflektif yang anda dapat dan mulakan kerja, mencat bumbung di mana-mana. Jangan lupa untuk melapiskannya dengan tebal. Untuk kem pekerja, kem pelarian, kampung adat, dll… pemerintah atau perniagaan yang bertanggungjawab terhadap kem-kem ini mesti menyediakannya dan juga mempertimbangkan tempat perlindungan dan lebihkan pokok.
  9. Jadikan ia hijau – menurut Forum Ekonomi Dunia, “penghijauan bandar adalah peluang besar dan termasuk perkara seperti dinding dengan kehidupan hijau, bumbung dan koridor hijau. Ini adalah fokus penting kerana apabila wap air dilepaskan oleh tumbuhan semasa fotosintesis, ia membantu menyejukkan persekitaran terdekat.” Perbezaan suhu antara kawasan yang mempunyai pokok matang dan yang tidak mempunyainya adalah ketara pada 10°C, jadi menghijaukan komuniti kita adalah kritikal.
  10. Jaga golongan miskin dan sesiapa sahaja yang bersusah-payah – seperti yang kita lihat di seluruh dunia, golongan termiskin sedang menderita dan kita perlu memberi tumpuan untuk membantu mereka bersiap sedia. Jika anda mempunyai kekayaan, laburlah untuk membantu komuniti anda bersiap sedia, yang termasuk perkara seperti penginapan untuk keluar dari kepanasan ATAU menanam pokok di kejiranan miskin kerana mereka sering kali mempunyai amat sedikit atau langsung tiada pokok.
  11. Sediakan ruang penyejukan sekarang – kita mesti menyediakan kawasan komuniti terlebih dahulu (ruang penyejukan), supaya orang ramai mempunyai tempat untuk pergi ketika kepanasan ekstrem dan ia perlu tersedia 24×7. Memikirkan apa yang perlu kita lakukan untuk mereka yang tidak dapat membantu diri mereka sendiri harus menjadi keutamaan di mana-mana dan kita mesti memikirkan semula bandar kita dari atas ke bawah dan menghapuskan apa sahaja yang menyebabkan kepanasan lebih teruk aka kesan pulau haba bandar.
  12. Tutup langsir, pasang filem pada tingkap – jika anda mempunyai tingkap besar, apabila indeks kepanasan mula melebihi 50°C, biarkan langsir anda tertutup dan jika anda tidak mempunyai langsir, mungkin sudah tiba masanya untuk melabur dalam langsir berkualiti tinggi yang mampu anda miliki. Anda juga boleh meletakkan filem tahan matahari pada tingkap anda untuk mengurangkan impak kepanasan di rumah anda.
  13. Naik taraf insulasi – pastikan anda mempunyai insulasi yang sesuai di bumbung dan dinding anda untuk menjadikan rumah anda sejuk di dalam dan menghalang kepanasan daripada masuk. Insulasi juga memastikan penghawa dingin anda lebih cekap, atau jika anda mengecat bumbung anda dengan warna putih, ia membantu melakukan tugasnya dengan lebih baik.
  14. Simpan bekalan air – jika grid kuasa anda terputus, adakah anda kehilangan air? Ya! Jika anda dalam keadaan yang sama, simpan cukup bekalan air untuk keluarga anda sekurang-kurangnya untuk seminggu, jika tidak lebih lama. Juga sediakan bekas air yang tertutup untuk digunakan untuk menyejukkan badan. Salah satu cara terbaik untuk menyejukkan diri (apabila pilihan terhad) adalah dengan merendam tuala dalam air dan melilitkannya di badan anda.
  15. Melabur kepada alat yang tidak memerlukan kuasa – sama ada kipas tangan, lampu, atau sebarang peranti yang dapat membantu anda kekal sejuk/selamat, ini adalah masa yang baik untuk memikirkan apa yang anda perlukan apabila kuasa terputus dan apa yang dapat membantu anda bertahan. Apa yang dapat membantu anda melalui? Kipas bertenaga bateri? Generator engkol tangan untuk mengecas telefon, dan peranti penting lain? Ini adalah masa yang baik untuk fikirkan apa yang perlu supaya anda dapat bersiap sedia.
  16. Bijak menghadapi nyamuk – El Niño membawa peningkatan penyakit berjangkit dari nyamuk, khususnya denggi dan malaria. Kita harus memastikan rumah kita bebas dari takungan air, yang merupakan tempat pembiakan nyamuk, dan pertimbangkan kelambu dan penyelesaian lain. Berbincanglah dengan kerajaan anda tentang cara melindungi rakyat dari penyakit berjangkit dan mendidik tentang pencegahan nyamuk – Singapura cekap bila berkaitan dengan hal ini. Bawa isu ini kepada pemimpin anda dan undilah untuk tindakan yang benar dan diperlukan.
  17. Tanam sebuah taman – kita menyaksikan kehilangan tanaman secara meluas akibat kepanasan ekstrem dan kejadian cuaca – suatu kebimbangan yang semakin meningkat di seluruh dunia. Sebagai contoh, pengeluaran padi menurun apabila suhu melebihi 35C (yang telah berlaku tahun ini). Kehilangan tanaman bermakna kurang hasil pertanian yang sampai ke pasaran – mendorong harga naik, dan berpotensi menyebabkan kelaparan. Jika boleh, tanam sebuah taman, dan galakkan jiran anda untuk melakukan perkara yang sama. Kekurangan makanan semakin teruk dan akan terus bertambah buruk – jadi apa jua cara yang membolehkan kita dapat bersikap independen dalam tahun-tahun akan datang akan membantu kita dan keluarga kita bertahan.
  18. Sejukkan kawasan luar – kita memerlukan pilihan penyejukan yang tidak bergantung pada elektrik, kerana penyejukan tanpa kuasa adalah lebih baik untuk alam sekitar, terutamanya kerana banyak negara di Global South dikuasai oleh arang batu – bahan bakar fosil yang paling kotor. Tetapi ini juga tentang melabur untuk penyelesaian yang berfungsi tanpa kuasa. Salah satu cabaran terbesar kepanasan ekstrem adalah, sekali suhu melebihi 50°C, grid kuasa mula gagal akibat suhu ekstrem dan permintaan yang terlalu banyak – kita sudah melihat ini berlaku.
  19. Penyejukan luar – dua contoh penyejukan luar yang tidak bergantung kepada tenaga adalah menara buluh Adiabatic Urban Cooling dari Yankodesign dan Beehive dari CoolAnt, yang diperbuat daripada ‘terracotta’. Penyelesaian ini berfungsi berdasarkan udara dan air. Kita memerlukan penyelesaian seperti ini di kem pekerja, kampung Orang Asli, kem pelarian, pasar, di acara keagamaan, dan sebagainya, serta di kawasan utama di mana penduduk dan pelancong berkumpul.
  20. Kipas kabus air bertenaga solar – kipas kabus air berskala industri mungkin penting dalam menyejukkan kulit pada ‘wet bulb temperature’. Walau bagaimanapun, untuk memastikan kejayaan, kita perlu menjalankan kipas ini dari panel solar bebas untuk memastikan mereka tidak terhenti jika grid gagal.
  21. Stesen penyejukan komunal di bandar – kita perlu menubuhkan stesen penyejukan di merata tempat. Untuk bandar, infrastruktur sedia ada – seperti pusat membeli-belah, sekolah, perpustakaan, atau tempat ibadah – adalah pilihan apabila suhu terlalu panas untuk dihuni. Rancangan ini perlu difikirkan dengan teliti, dari menetapkan ruang hingga menyediakan air, makanan, dan bahkan tempat untuk tidur.
  22. Stesen penyejukan komunal di kawasan luar bandar – di luar bandar dan bandar, stesen penyejukan perlu ditubuhkan di kampung dan komuniti tempatan. Kenal pasti satu atau dua tempat, yang cukup besar untuk semua orang sebagai stesen penyejukan tempatan, dan letakkan perancangan yang luas dalam merancang ruang ini untuk memastikan mereka bersedia menerima komuniti apabila diperlukan – yang di terdapat di banyak tempat di dunia sekarang. Ini boleh menjadi tindakan yang dipimpin oleh komuniti. Stesen penyejukan perlu mudah diakses dalam jarak yang singkat dan dibuka 24×7.
  23. Jangan lupa kepada haiwan – kita tidak boleh melupakan haiwan dan hidupan liar. Dari haiwan peliharaan kita hingga haiwan ternakan, dapatkah kita menjaga mereka agar selamat, memastikan mereka bertahan dalam suhu ini? Atap zink sebagai satu-satunya tempat teduh akan membunuh haiwan secepat ia akan membunuh manusia, jadi apa yang dapat kita lakukan untuk bersiap sedia?
  24. Bagaimana kita melindungi hidupan liar? Mungkin kebimbangan terbesar, kerana walaupun kita sebagai manusia mungkin dapat bertahan, apa yang dapat kita lakukan untuk hidupan liar? Dapatkah kita menubuhkan ruang untuk burung dan hidupan liar lain, dengan akses kepada air, makanan dan teduh? Haruskah kita memikirkan tentang struktur seperti ‘mini-ark’ untuk melindungi hidupan liar di negara/kawasan kita untuk memberi mereka peluang bertahan? Kita mesti menjaga hidupan liar kita, atau kehilangan biodiversiti dan kepupusan akan berlaku. Ekosistem ini kritikal untuk kelangsungan hidup manusia juga. Dapatkah kita merancang untuk menyelamatkan secara mencukupi?
  25. Pelaburan tenaga bebas – apabila suhu menjadi terlalu panas, permintaan yang tinggi serta kepanasan berlebihan akan menyebabkan grid kuasa gagal. Ini pernah berlaku. Untuk mengatasi ini, jika anda memiliki kekayaan, pasang tenaga suria atau angin untuk tempat anda supaya anda bebas dari grid, tetapi juga kerana kita perlu mengurangkan permintaan pada grid di mana sahaja mungkin.
  26. Tenaga bebas untuk komuniti – di mana ia tidak mampu bagi individu untuk membuat pelaburan dalam tenaga suria atau angin, berkumpul dan bersetuju di mana anda harus menubuhkan sumber tenaga bebas dan unit aircon, memastikan ianya mencukupi untuk menyokong semua orang dalam komuniti. Ini akan menyediakan seluruh komuniti dengan tempat untuk menyejukkan diri, dan ia boleh menyelamatkan nyawa. Jika komuniti dapat membiayai ini bersama, ada peluang yang lebih besar untuk menjadikannya siap digunakan apabila suhu tinggi melanda. Ini bukan sesuatu untuk ditangguhkan. Jika anda memiliki kekayaan, bantu komuniti anda membuat pelaburan ini.
  27. Sukan festival, bermain – untuk perhimpunan politik, upacara keagamaan, atau acara sukan berskala besar, jika ‘wet bulb temperature’ atau indeks kepanasan telah melebihi, adalah dalam kepentingan penganjur untuk membatalkan acara ini atau, di mana mungkin, memindahkannya ke dalam ruangan ke tempat yang berhawa dingin. Mengecat bumbung menjadi putih, bumbung hijau, peranti penyejukan luar, pokok, dan teduhan, dan lain lain… adalah semua perkara fokus penting untuk bangunan sivik dan institusi.
  28. Batalkan acara bila berlaku kepanasan ekstrem – sila beri perhatian kepada kepanasan ekstrem jika anda menganjurkan sebarang aktiviti luar, kerana mengabaikan ‘wet bulb temperature’ membahayakan nyawa. Jika anda ingin bertahan, pelajari apa yang perlu anda lakukan dan pastikan anda berkongsi ini dengan keluarga anda dan komuniti.
  29. Persiapan sekolah – sekolah mesti menyedari ‘wet bulb temperature’ dan memastikan pelajar tidak berada di luar dalam kepanasan ini untuk tempoh masa yang panjang. Bilik darjah di kawasan terjejas mesti mengutamakan pemasangan penghawa dingin, jika boleh, serta sumber tenaga bebas (seperti solar) untuk menjaga keselamatan pelajar. Sekolah juga boleh menjadi ruang penyejukan untuk komuniti.
  30. Mengambil kira kaedah penyejukan tradisional – kita perlu memikirkan semula bagaimana kita membina untuk masa depan yang akan datang, dan memikirkan teknik masa lalu, memperbaiki apa yang kita telah rosakkan. Architecture Peranakan adalah ciri Pantai Barat Asia Tenggara, yang menjaga bandar sejuk dan udara beredar sebelum elektrik ditemui! Hari ini, banyak ciri telah diubah, seperti lengkungan antara bangunan yang disekat dan ditutup. Kita perlu membetulkan ini, dan kita perlu melihat pemasangan Kawasan teduhan di kawasan awam. Ini termasuk pokok juga.
  31. Mempertimbangkan semula kerja luar – kebanyakan orang yang akan terjejas oleh ‘wet bulb temperature’ yang teruk adalah pekerja luar, dan mereka biasanya orang yang bertanggungjawab untuk memberi makan, membina, dan menghiburkan dunia. Mereka juga paling kurang berpengaruh dan akan bekerja tanpa pilihan lain. Kita perlu memikirkan semula waktu kerja untuk memastikan mereka terlindung dari kepanasan, serta merancang tempat yang lebih sejuk yang mereka boleh pergi apabila suhu terlalu tinggi.
  32. Pemilik perniagaan bertanggungjawab – pemilik perniagaan mesti dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatan pekerja apabila kepanasan ekstrem – yang bukan sesuatu yang berlaku di mana-mana, terutamanya apabila pekerja adalah pekerja asing atau migran tanpa dokumen. Hukuman berat harus dikenakan untuk kurangan penjagaan terhadap kesejahteraan pekerja.

Jenis pekerja yang akan terjejas – pertanian, pembinaan; semua jenis pembinaan; dan pengangkutan terutamanya jika motosikal adalah kenderaan utama (pemandu Grab) dan kenderaan pelancongan, seperti Tuk-Tuks (di Thailand). Kita telah melihat pemandu penghantaran meninggal di AS Ketika musim panas ini. Pasar pagi/pasar tani – dari buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan laut, hingga pakaian hingga pelancongan; tukang kebun dan pekerja domestik luar; pekerja hospitaliti dengan peranan utama di luar, termasuk staf restoran; sektor pelancongan, seperti caddies golf, instruktur menyelam, sukan air, dan banyak lagi; pekerja perkhidmatan kecemasan, kesemua orang di sector ini akan mengalami kesusahan jika terus bekerja di kepanasan.

  • Kegagalan infrastruktur – infrastruktur kita tidak cukup tersedia untuk kepanasan ekstrem, dan cabaran besar di Global Selatan adalah kebanyakan infrastruktur elektrik masih di atas tanah kerana ia lebih murah daripada memasangnya di bawah tanah. Ini bermakna ia berisiko lebih tinggi untuk hancur akibat kepanasan atau rosak (oleh ribut, dll.), jadi langkah kritikal akan menjadi pelaburan dalam infrastruktur untuk memastikan ia sesuai untuk suhu yang lebih tinggi dan ekstrem cuaca lain. Walau bagaimanapun, seperti yang kita lihat di Itali tahun ini, infrastruktur bawah tanah juga berisiko pada suhu yang lebih tinggi. Itulah sebabnya kita perlu menjadi bebas dengan sumber tenaga kita sendiri.
  • Bagaimanakah infrastruktur yang terlalu panas kelihatan? Adalah dalam kepentingan kita semua untuk memikirkan apa maksud kepanasan ekstrem bagi kita. Satu contoh adalah apabila jalan mula merekah, kita tidak akan dapat meninggalkan rumah kita. Jika kita tidak dapat meninggalkan rumah kita, apa maksudnya – terutamanya jika mempertimbangkan bekalan makanan, air, kecemasan perubatan, dan sebagainya? Bawa hal ini kerajaan anda. Bagaimana persiapan komuniti anda?
  • Kesediaan perkhidmatan kecemasan – kita mesti mempertimbangkan kemampuan kakitangan perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan infrastruktur berfungsi dalam kepanasan yang melampau. Pada ketika kemuncak suhu, adakah kenderaan kecemasan akan dapat bergerak – kerana kenderaan yang terlalu panas dan jalan yang merekah mungkin menjadi masalah? Dan jika mereka dapat sampai ke kawasan tersebut, pakaian apa yang akan mereka perlukan – seperti baju penyejuk? Kita perlu bersiap sedia dari sekarang. Di AS, unit rawatan luka bakar dipenuhi dengan mangsa luka bakar darjah kedua dan ketiga musim panas ini, kerana tanah sangat panas – sehingga 180°F. Paramedik juga mengalami luka bakar teruk pada lutut mereka semasa merawat pesakit. Kita perlu bersiap sedia dengan lebih baik.
  • Tempat perlindungan parkir kereta dan motosikal – kepanasan yang teruk pada tahun 2023 menyebabkan kereta dan motosikal terdedah kepada panas matahari, dan bagi mereka yang tidak mempunyai penghawa dingin dalam kereta, tidak dapat memarkir di kawasan berteduh akan menjadi masalah besar. Anda tidak dapat menyejukkan kereta jika ia tidak mempunyai penghawa dingin, apabila ia terdedah kepada tahap kepanasan ini; oleh itu, sudah tiba masanya untuk memasang tempat perlindungan parkir di mana-mana, yang bukan amalan umum di negara-negara membangun.
  • Mari kita lebihkan sumber tenaga solar – kita mempunyai peluang yang hebat untuk belajar dan mengambil inspirasi dari negara-negara seperti Perancis, yang memasang panel solar di atas bumbung semua tempat letak kereta besar. Untuk hospital di seluruh kawasan, pemasangan panel solar pada tempat perlindungan kereta dan motosikal boleh menyediakan tenaga untuk hospital dan komuniti sekitarnya.
  • Kepentingan perkhidmatan kesihatan – apakah yang lebih penting daripada perkhidmatan kesihatan? Bagaimana kita memastikan ia terus berjalan? Kita sudah melihat hospital di negara-negara kaya yang menghadapi kepanasan ekstrem, bagaimana negara-negara membangun boleh bersiap sedia? Pertama sekali kita perlu memberi tumpuan kepada bekalan tenaga yang bebas dan mampan yang cukup kuat untuk menjalankan keseluruhan kemudahan, seperti hospital dan semua penyedia perkhidmatan kecemasanan.
  • Ini cabarannya – sumber tenaga yang digunakan pada masa ini pertama sekali adalah grid elektrik yang berisiko rosak, diikuti oleh generator yang berjalan dengan bahan bakar fosil. Soalannya adalah – bila suhu menjadi terlalu panas untuk menjalankan generator? Ini bermula dari 40°C. Gabungan kepanasan dan kelembapan akan mematikan generator, jadi bagaimana kita dapat menjamin hospital dan perkhidmatan perubatan kita dapat terus berjalan?
  • Kita juga perlu menyimpan stok – kita perlu memastikan ada cukup ubat-ubatan, makanan dan air untuk bertahan melalui sebarang gelombang kepanasan yang panjang, serta cukup staf untuk menghadapi lonjakan pesakit. Pemimpin hospital dan pegawai kerajaan – nasional dan tempatan – perlu bertanya: “Adakah infrastruktur semasa akan berfungsi dalam kepanasan yang diramalkan oleh ahli sains iklim? Adakah kita bersedia untuk semua kemungkinan apabila kita menghadapi kejadian kepanasan yang panjang?”
  • Kemudahan perubatan tempatan – pertimbangan lain adalah jumlah orang yang memerlukan penjagaan perubatan boleh meningkat secara mendadak – seperti yang kita lihat di Hemisfera Utara. Sama juga, jika orang tidak dapat pergi ke pusat perubatan (kereta terlalu panas untuk dihidupkan, jalan tidak boleh dilalui) atau mereka terlalu jauh (setiap minit adalah berharga apabila anda berpindah ke tahap tiga strok kepanasan), kita perlu merancang bagaimana kita menghadapi itu, sekarang. Jadi, mari kita bersiap sedia dan menubuhkan perkhidmatan tempatan.
  • Kita perlu bersetuju tentang peralatan yang diperlukan untuk kecemasan kepanasan, serta bagaimana kita dapat melatih ahli komuniti tempatan untuk memberikan penjagaan perubatan kecemasan dalam situasi di mana untul pergi ke hospital atau klinik adalah tidak mungkin. Jika kita ingin bersedia, kita perlu

● Mengenal pasti jumlah komuniti di setiap negara

● Melantik orang untuk dilatih oleh profesional perubatan dalam penjagaan strok kepanasan dan mendidik komuniti bahawa inilah tempat pertama yang harus pesakit pergi jika mengalami strok kepanasan

● Menentukan apa peralatan, ubat-ubatan yang diperlukan di setiap kemudahan dan mula mendapatkan stok di tempat dan disimpan dengan selamat

● Memasang sumber tenaga bebas supaya kemudahan tempatan ini dapat berjaya, tidak kira berapa panas

● Menubuhkan kemudahan ini sekarang, lebih awal daripada bila ia diperlukan

● Melabur untuk beg mayat, kerana seperti yang kita lihat di AS, apabila diisi dengan ais ia telah berjaya menyejukkan pesakit yang telah berpindah ke tahap strok kepanasan yang membawa maut. Kita perlu menyimpan stok lebih awal dan memastikan bekalan ais, serta peti sejuk bebas dari grid

● Menyediakan “pakej survival” dengan barang seperti elektrolit, dan mengedarkannya kepada rakyat sebelum kepanasan tiba

● Ini juga masa yang baik untuk melabur terhadap pasukan perubatan yang menghasilkan video ‘cara melakukan’ dalam bahasa tempatan, tentang bagaimana mengendalikan kecemasan ‘wet bulb temperature’ dan tanda-tanda yang perlu diperhatikan

40. Media – mesti mula melaporkan tentang ‘wet bulb temperature’ atau indeks kepanasan, dan mendidik pembaca/penonton tentang apa maksudnya. Ini memerlukan perhatian tanpa henti untuk meningkatkan kesedaran tentang risiko, serta panduan tentang apa yang akan berlaku akibat El Niño yang disahkan, yang dijangka akan menyaksikan suhu yang belum pernah kita lihat sebelum ini. Media mesti menyediakan maklumat terkini, ramalan, dan pendidikan tentang cara mengendalikan kepanasan ekstrem, dan mesti mengutamakan mesej ini. Sudah tiba masanya untuk meletakkan ‘wet bulb temperature’, di kategori bahaya, di muka depan setiap sumber media dan pencerahan pada tahap intensiti yang tepat.

41. Pengaruh –  gunakan profil anda untuk kebaikan dan ambil peranan untuk mendidik penonton anda dan menyumbang kepada perbincangan ini. Sesiapa sahaja dengan pengaruh boleh menjadi pendidik hari ini.

42. Kepimpinan kerajaan – Kerajaan mesti membawa rakyat bersama, berbicara secara jujur dan terbuka tentang apa yang sedang berlaku dan apa yang dijangkakan, dengan bukti sains. Kita memerlukan semua pemimpin kerajaan untuk menetapkan rancangan yang selaras dengan apa yang disampaikan oleh ahli sains iklim, dan kita perlu mula menyesuaikan diri sekarang. Di seluruh dunia, peristiwa iklim ekstrem menempatkan pemimpin dalam keadaan terkejut, bertindak balas setelah bencana telah melanda, dan kita perlu mula bersedia terlebih dahulu sebelum bencana berlaku.

43. Ketelusan adalah kritikal, dan penglibatan dengan rakyat juga penting, dan rasuah adalah satu lagi isu yang mesti ditangani dan diatasi. Kerajaan juga mesti bekerjasama melintasi sempadan demi kebaikan wilayah mereka dan berkongsi amalan terbaik, membantu menyelesaikan cabaran yang menyumbang kepada krisis (seperti jerebu), dan mengurangkan bahan bakar fosil dengan cepat, terutamanya arang batu, atau keadaan akan terus bertambah buruk. Sila undi untuk pemimpin yang akan bertindak mengatasi polikrisis, penafian akan membahayakan anda dan keluarga anda.

44. Komunikasi adalah kritikal – Kerajaan mesti menetapkan rancangan komunikasi nasional, menyediakan sistem untuk komunikasi ini untuk memastikan ia sampai kepada semua orang di bawah jagaan mereka, menetapkan sebuah pasukan untuk menguruskan ini dan bersedia sebelum kecemasan sebelum melanda. Komunikasi nasional dan tempatan akan memainkan peranan yang sangat penting.

45. Komunikasi teknologi rendah – jutaan orang tidak mempunyai akses kepada teknologi digital – sesuatu yang kita lihat semasa pandemik, walaupun di negara-negara kaya. Di Maui, Hawaii, komunikasi gagal kerana tiada apa-apa yang berfungsi lagi. Di Libya, tidak ada amaran langsung. Semua komuniti perlu mempertimbangkan komunikasi, seperti skrin awam atau papan notis dengan amaran suhu ekstrem, supaya semua orang sedar tentang risiko. Media tempatan mesti berkongsi maklumat ini juga. Desak agar ini menjadi penting dan menjadi keutamaan.

46. Perniagaan – pasukan kepimpinan eksekutif mesti mula melihat semua kemungkinan dan memahami impak terhadap perniagaan mereka dan bukan hanya keuntungan mereka. Beberapa contoh:

● Jika anda sebuah perniagaan antarabangsa yang besar, anda mungkin mempunyai ribuan pekerja yang terjejas akibat kepanasan – bagaimana anda dapat membantu mereka? Bagaimana anda dapat membuat mereka bersedia? Bolehkah anda membantu memasang tenaga suria atau angin, supaya keluarga mereka selamat semasa kejadian kepanasan yang terik? Apa amalan kerja dan jangkaan yang akan anda tetapkan? Komunikasikan secara terbuka.

● Adakah rantaian bekalan anda selamat, atau adalah ia akan gagal dalam kepanasan, seperti yang kita lihat di China pada tahun 2022? Apa impaknya? Bagaimana anda dapat menjaga perniagaan anda?

● Jika pelancongan adalah perniagaan anda dan gelombang kepanasan membunuh orang, ini tidak akan menarik pelancong ke destinasi anda. Bagaimana anda bersedia untuk kepanasan ini, dan apa yang anda lakukan untuk pekerja anda? Bagaimana anda merancang untuk berkomunikasi dengan tetamu anda? Adakah anda menubuhkan ruang penyejukan untuk pekerja luar anda, dan memungkinkan mereka untuk bertahan?

● Lebih luas lagi, untuk sektor luar, seperti pertanian, pengangkutan dan pelancongan, perniagaan anda akan terjejas dengan teruk oleh situasi ini pada beberapa tahap – kehilangan tanaman, kemarau, dan suhu terlalu panas untuk pekerja anda bekerja. Apa yang dapat anda lakukan sekarang untuk bersedia? Apa infrastruktur yang dapat anda sediakan? Bagaimana anda dapat mengubah waktu kerja untuk tetap produktif dan menjaga keselamatan pekerja anda?

● Untuk sebarang perniagaan yang bergantung pada tenaga kerja migran atau tenaga kerja tanpa dokumen, ini adalah masa untuk berperikemanusiaan. Jaga orang anda. Susun kem rumah mereka supaya mereka mempunyai peluang untuk bertahan. Jangan biarkan mereka bekerja dan hidup di ‘wet bulb temperature’, atau mereka akan mati. Pastikan bekalan makanan dan air mereka, pasang stesen penyejukan, dan ubah waktu kerja.

47. Segala-galanya, di semua tempat, secara serentak – walaupun kita dengan segera perlu bersedia untuk kepanasan ekstrem, pada masa yang sama, kita mesti menangani pemusnahan alam semula jadi, dan itu memerlukan pelaburan tenaga dan pelaburan kita ke dalam memulihkan kerosakan yang telah kita sendiri sebabkan, yang memburukkan lagi kecemasan iklim dan sebab kita berdepan dengan cuaca ekstrem ini.

Antonio Guterres, ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berkata: kita memerlukan segala-galanya, di semua tempat, secara serentak, jadi sudah tiba masanya untuk komuniti kita berkumpul di mana-mana dan mencari cara untuk memulihkan dan membina semula tanah yang kita panggil Bumi. Bersihkannya, hidupkan semula, hentikan pengembangan manusia, hadkan pembangunan yang tidak selaras dengan alam, dan lain-lain. Lakukan semua ini sambil bersiap sedia untuk suhu yang semakin panas pada masa yang sama.

• Sangat kritikal kita bertindak di semua tempat, dan sudah tiba masanya untuk bekerja melihat jika kita boleh bekerjasama dengan alam untuk mengurangkan impak kecemasan iklim yang meningkat. Secara serentak, untuk menangani ‘wet bulb temperature’, mari kita bina semula persekitaran kita secepat mungkin.

• Jika kita berada di tepi laut, kita perlu mencari teknik terbaik yang akan menyumbang kepada pengurangan emisi dan manfaat lain, seperti padang rumput bakau, tiram, mengembalikan spesies penting dan sebagainya.

• Di darat, ia adalah tentang pokok, tumbuhan, haiwan dan banyak lagi. Mari kita minta panduan dari orang tua kampung atau komuniti Orang Asli tempatan tentang cara mengembalikan komuniti kita kepada alam di semua tempat, dan kita harus melihat kembali sekurang-kurangnya 50 tahun yang lalu untuk inspirasi.

• Mari kita bersihkan sampah dan cari cara untuk memastikan persekitaran yang bersih (mengharamkan SEMUA plastik sekali guna, menubuhkan pengumpulan sampah yang berkesan, kompos, dan lain-lain). Sampah plastik juga menyumbat saluran air dan sangat meningkatkan risiko banjir, jadi ada manfaat besar untuk membersihkan persekitaran kita.

• Di Global South, saluran air dan tanah dipenuhi dengan sampah, dan sampah ini bukan hanya domestik, kerana negara-negara Barat telah menghantar sampah ke kawasan ini selama beberapa dekad. Amalan itu mesti dihentikan, itu adalah kolonialisme sampah.

• Pengumpulan sampah yang tidak berkesudahan, serta pembangunan berlebihan, perancangan yang buruk, dan lain-lain, bermakna bekalan air di seluruh dunia, tetapi terutamanya di Global South, tercemar dan tidak boleh diminum. Lebih membimbangkan, dalam dunia yang dengan cepat menuju ke arah kekurangan air, membersihkan dan menghidupkan semula saluran air mesti menjadi keutamaan bagi semua negara.

48. Akhir sekali, sila pastikan keadaan rumah anda dipantau untuk menjaga keselamatan keluarga anda, semak keadaan komuniti anda untuk memastikan semua orang bersedia, dan kemudian berkumpul dan pastikan yang paling miskin di kampung, bandar atau kota anda dapat bertahan kepanasan ekstrem dengan menyediakan infrastruktur dan penyelesaian yang diperlukan bagi mereka yang tidak mampu melakukannya sendiri.

49. Bagi Hemisfera Selatan, masa untuk tindakan pantas dan langkah adaptasi adalah sekarang. Kita telah mendapat amaran dari Hemisfera Utara, mari kita pastikan kita mengambil berat isu ini.

Translation by Bavani Periasamy

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.